Saya ulangi kenyataan
saya bahawa ini adalah usaha sekian kalinya untuk mengalih perhatian rakyat dari
isu pokok-pelanggaran hak asasi, rasuah, dan kronisme.
Wal hal jika kita
sorot tuntutan Suqui dengan teliti permasalahan dasar tersebut telah dibangkitkan.
Rakyat tidak boleh diperbodohkan untuk dijadikan kuda tunggangan pemimpin yang
rakus dan rasuah.
Kita tidak mahu
rakyat bawahan bertempur kononnya untuk mempertahankan hak dan maruah, manakalan
pemimpin terus menggondol kekayaan dan bersikap angkuh.
Jangan jadi Pak Kaduk
atau sekadar tukang sorak memekik melolong bengis terhadap orang-orang Cina tanpa
terlebih dahulu membaca tuntutan Suqui tersebut. Pura-pura jadi gagah tetapi
membisu tatkala hak rakyat dipijak, rasuah meluas dan penguasa bermaharajalela.
Anwar Ibrahim tatkala
meneliti tuntutan tersebut di mahkamah tahun lalu, melahirkan rasa bangga kerana
keberanian cendikiawan dan 2000 pertubuhan Cina meungkap permasalahan.
Hal tersebut tidak
beliau dengar dulunya dalam mesyuarat kabinet atau mesyuarat BN. Beliau anggap
sukar sekali pemimpin-pemimpin utama Cina berkenaan membangkitkan isu rasuah dan
kronisme.
Secara keseluruhan,
tuntutan Suqui mengarah kepada amalan demokrasi, merangsang pertumbuhan ekonomi
dan usaha menegak keadilan termasuk memulihkan kewibawaan institusi kehakiman.
Mereka menyentuh isu yang dianggap amat sensitif bagi sang penguasa iaitu rasuah,
kronisme, nepotisme, projek mega, pembaziran, Akta Keselamatan Dalam Negeri,
sekatan terhadap media dan sebagainya.
Sesungguhnya inilah
yang memanaskan mereka, bukan isu bahasa atau hak istimewa orang Melayu! Pada
ketika itu lagi Anwar meminta pemimpin BA melihat secara positif dan menganjurkan
wacana terbuka mengupas tuntutan Suqui. Beliau mencurigai keikhlasan BN yang
sekonyong-konyongnya menyambut positif tuntutan tersebut sebagai helah atau gimik
politik pilihanraya semata. Agak mustahil bagi BN menerima mudah gesaan tersebut
yang secara langsung mencabar dasar dan amalan mereka. Muslihat mereka terdedah
juga akhirnya selepas pilihanraya. Kini dihebahkan kononnya soal bahasa dan hak
Bumiputra tercabar.
Perlu dijelaskan,
pertamanya adalah menjadi hak mana-mana kumpulan menyuarakan pendapat meskipun ada
yang tidak kita persetujui. Pemikiran rakyat tidak boleh dikongkong dan
dibelenggu. Kedua, isu bahasa dan hak istimewa yang dikira sensitif ini
dibangkitkan kerana kelemahan dan penyelewengan dalam perlaksanaannya. Bahkana
polimik sedemikian bukan sahaja disertai oleh masyarakat Cina kerana kerana lebih
ramai umat Melayu yang kian prihatin. Sebab itulah saya kira tuntutan Suqui akan
lebih bermakna seandainya pendekatan diolah bagi mengelakkan isu sensitif
dimainkan oleh penguasa bagi menutup perbahasan isu pokok lainya.
Kami tetap
mempertahankan semangat perlembagaan mengenai isu bahasa dan hak keistimewaan
Bumiputra. Tetapi kami menolak alasan "kontrak sosial" BN buat menutup
penyelewengan perlaksanaan dan menghalang polemik terbuka. Tujuan membimbing
bumiputra dan rakyat tercemar bila kontrak perniagaan, pengswstaan, saham diagih
sewenang-wenangnya kepada keluarga dan kroni. Dana berbilion-bilion ringgit dari
khazanah negara dan Petronas digunakan untuk menyelamatkan syarikat keluarga dan
kroni. Apakah ini yang dimaksudkan dengan hak istimewa atau tindakan berkesan (
affirmative action ?) Apakah ini lebih utama dari biasiswa kepada pelajar miskin?
Atau projek desa termasuk di pendalaman Sabah dan Sarawak? Perkampungan baru Cina
dan estet India?
Kita menuntut dasar
yang lebih telus dan pengurusan yang baik yang menjamin peluang kepada Bumiputra
disamping kesempatan seluasnya kepada kaum-kaum yang lain. Anwar pernah
menceritakan bagaimana Jawatankuasa Pelaburan Modal (CIC) sebelum ditubuhkan
Suruhanjaya Sekuriti disalahgunakan untuk mengagih saham 'percuma' dari
syarikat-syarikat Cina kepada syarikat keluarga kroni terpilih. Dengan sendirinya,
dana berbilion ringgit dirampas oleh segelintir kecil Melayu atas nama dasar
Bumiputra.
Benar, ramai peniaga
Cina turut kesal tetapi majoriti umat Melayu juga merasa mereka tertipu dengan
amalan rasuah dan kronisme sedemikian. Begitu juga dengan dasar 10% potongan
kepada Bumiputra termasuk yang mampu membeli rumah mewah. Apakah tidak wajar
diagihkan kepada jumlah pembeli rumah kos sederhana rendah atau rumah murah?
Samalah pula halnya dengan anak menteri yang menerima biasiswa wal hal anak guru
dinafikan. Kita diriuhkan hal teknologi maklumat dan e-ekonomi tetapi kemudahan
komputer di sekolah desa tidak dibekalkan. Peluang pendidikan tinggi IPT terbatas
hinggakan anak-anak Cina yang memperolehi keputusan amat cemerlang tidak
memperolehi kesempatan belajar.
Kelemahan
perlaksanaan perlu diakui dan segera diperbetulkan. Beberapa kerat ahli keluarga
dan kroni dan bukan bumiputra membolot kebanyakan peluang. Kepentingan peniaga
kecil dan sederhana, petani dan nelayan tidak terbuka dengan sebaiknya. Penyokong
yang kurang wibawa atau kelayakan diberikan peluang. Ia diterapkan sebagai satu
budaya mempertahankan mediocriti sehinggakan yang terbaik dikalangan Bumiputra
merasa terpinggir hinggakan ada yang cuba melobi tokoh politik untuk mendapat
jawatan professor. Pada hal jawatan tersebut tertakluk kepada kelayakan akedemik,
prestasi, penyelidikan dan hasil penerbitan.
Isu bahasa,
pendidikan dan sekolah wawasan kini diputarbelitkan oleh pemimpin UMNO. Saya ingin
ulangi pendirian mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan serta jaminan
pembelajaran bahasa ibunda. Dr. Mahathir tersilap lagi mengecam kononnya
sekolah-sekolah Cina menolak Dasar Pendidikan Kebangsaan. Sekolah-sekolah rendah
Cina terangkul dalam sistem pendidikan kebangsaan. Sekolah-sekolah menengah
persendirian Cina pula mensyaratkan pelajar-pelajar menduduki peperiksaan PMR, SPM
dan STPM.
Asalkan Dasar
Pendidkan Kebangsaan diterima, kita seharusnya memberi ruang dan galakan kepada
pelajar-pelajar mengenali bahasa ibunda mereka termasuk bahasa Cina, Tamil, Iban
atau Kadazan. Prinsip tersebut telah diterima umum.
Isu sekolah wawasan
meledak menjadi masalah semata-mata kerana pemimpin negara terlalu gopoh dan
angkuh memaksa rakyat patuh tanpa memberi runag dialog. Barangsiapa yang berbeza
pendapat dianddap pelampau, kominis dan dilabel dan segala kecaman melulu.
Sebenarnya idea
sekolah wawasan berpunca dari konsep sekolah perpaduan ( integrated sosial ) yang
dikemukakan pada tahun 1986. Pada tahun 1987, Anwar mengenepikan cadangan tersebut
setelah dipertikai oleh kesatuan guru dan Dong Jiao Zhiong.
Pada fahaman kami,
perpaduan tidak dapat diterapkan secara paksaan dalam satu skim fizikal. Ia perlu
dipupuk melalui kefahaman dan semangat saling menghormati atas kepelbagaian yang
ujud. Pelajar-pelajar perlu digalakkan berinteraksi termasuk menjalankan kegiatan
ko-kurikulum, sukan dan sebagainya bersama. Dan kami beranggapan keyakinan agama,
fahaman budaya dan kesedaran moral dapat membantu meniupkan semangat tolenransi,
nilai kemanusiaan dan prinsip keadilan.
Kini terdedah sudah
kepura-puraan kalangan yang mencanangkan perpaduan tetapi manakala terdesak mula
memainkan sentimen kaum dan mengugut rakyat.
Rakyat Malaysia dan
semua kaum perlu mengambil pendekatan baru, bermuafakat membina masyarakat yang
adil dan tidak membiarkan diri diperkotak-katikkan lagi melalui nafsu penguasa.
Kita tidak harus
gentar dengan ugutan dan harus menggunakan hak dan kebebasan dengan bijaksana,
berjuang menegakkan keadilan.